MANCHESTER – Kegagalan Arsenal untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini menjadi faktor utama Alexis Sanchez memilih untuk meninggalkan kelab London tersebut.
Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata, keinginan pemain berusia 29 tahun untuk beraksi dalam saingan berprestij di Eropah itu menjadi pendorong berhijrah ke Old Trafford.
Mourinho menggambarkan bekas bintang Barcelona dan Arsenal itu sebagai pemain yang diperlukan dalam skuadnya.
”Kami memang memerlukan pemain baru seperti Sanchez, dan kami boleh sahaja menunggu pada jendela perpindahan musim panas nanti.
“Tetapi kami memilih untuk mendapatkannya pada jendela perpindahan yang lalu,” jelas Mourinho.
Beliau menjelaskan United memerlukan Sanchez dalam Liga Juara-Juara Eropah yang disifatkannya satu keputusan yang tepat.
“Sanchez datang dengan segala usahanya untuk beraksi di peringkat Liga Juara-Juara Eropah.”
”Sebenarnya sukar buat saya selaku jurulatih untuk memotivasikan pemain saya untuk beraksi dalam pertandingan yang kami tidak mahu sertai (Liga Europa).
”Tetapi kerana kami memenanginya dan layak untuk ke Liga Juara-Juara Eropah jadi motivasi tersebut sentiasa wujud. Kami sentiasa mahu beraksi menentang pasukan terbaik,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Mourinho berjaya membawa Porto dan Inter Milan bagi menjuarai piala yang menjadi idaman seluruh kelab di Eropah itu.
Di sebalik reputasi tersebut dan mempunyai skuad yang berpengalaman, pengendali dari Portugal itu tidak melihat skuad bimbingannya sebagai antara pasukan pilihan untuk menjuarai pertandingan ini.