Home Nasional Permata bantu Felcra tubuh Taska

Permata bantu Felcra tubuh Taska

Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Program Permata Negara (Permata) sedia bekerjasama dengan Felcra Berhad untuk menubuhkan Pusat Awal Pendidikan Kanak-Kanak atau Taska di pejabat agensi itu di seluruh negara.

Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana dengan ada Taska itu, tenaga kerja kaum ibu akan dapat memberi sumbangan yang lebih optimum dan produktiviti dapat ditingkatkan berikutan kestabilan emosi mereka yang mengetahui anak berada di dalam jagaan baik.

“Permata sedia memberi kerjasama kepada Felcra menerusi WADIRA (Wanita Dinamis Felcra) dalam merealisasikan usaha ini.

“Justeri saya menyeru agar Felcra memberi penekanan dalam hal menubuhkan Taska di pejabat-pejabat Felcra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Perdana WADIRA di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pada majlis sama, Rosmah Turut menerima anugerah Ikon Inspirasi WADIRA 2018.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, menurut pakar, kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal yang berkualiti akan menjadi individu yang syumul seterusnya menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan masa depan.

“Saya memahami WADIRA begitu giat memajukan diri dan keluarga dengan pelbagai aktiviti ekonomi.

“Namun demikian, saya ingin menyaran ahli WADIRA tidak lupa akan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan kanak-kanak khusus di awal usia,” katanya.

Sementara itu, WADIRA kini mempunyai 83 rangkaian seluruh negara dengan jumlah seramai 17,450 ahli yang terdiri daripada peserta wanita, isteri dan anak perempuan peserta, kakitangan wanita dan anak perempuan mereka. – MalaysiaGazette