KUALA LUMPUR – Siapa tidak kenal pereka fesyen tersohor negara, Datuk Seri Bernard Chandran kerana sentuhan dan kreativitinya cukup luar biasa.
Justeru tidak hairanlah apabila ramai pelanggan tempatan mahupun antarabangsa termasuk kerabat diraja Brunei juga mengagumi hasil rekaannya.
Malah, hasil kerjanya kini turut dikagumi kerabat diraja British iaitu Duchess of Cambridge yang dikagumi sebagai ikon fesyen.
Baru-baru ini, Bernard mempersembahkan rekaannya kepada Kate Middleton, 36, yang juga isteri kepada Putera William di Istana Buckingham, London, bersama dengan pereka terkenal lain termasuk Stella McCartney (mewakili United Kingdom), pada majlis resepsi Commonwealth Fashion Exchange (CFE).
Bernard adalah wakil tunggal dari Malaysia pada majlis itu.
Pereka fesyen berusia 50 tahun itu memuat naik tiga gambarnya sedang berbual dengan Kate di Instagramnya sambil menyatakan kegembiraannya menerusi keterangan gambar ‘Beliau ingin tahu lebih banyak’ yang semuanya ditulis dalam huruf besar.
Rekaannya terdiri daripada ‘dress bustier’ dan kot labuh yang diperbuat daripada songket.
Dalam temu bual dengan platform digital gaya hidup Buro 24/7 Malaysia sebelum acara itu, Bernard berkata, beliau teruja untuk mempamerkan rekaan yang menggabungkan elemen tradisi dan budaya Malaysia dalam suasana baharu.
“Saya telah meneroka banyak tekstur dan material termasuk songket, tekstil brokat tradisional orang Malaysia yang biasanya ditenun tangan dan dihiasi corak rumit benang emas atau perak, disukai kebanyakan kerabat,” katanya.
Beliau berharap apa yang dilakukan ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus berbangga dengan budaya mereka.
“Tradisi yang mungkin dianggap biasa dan membosankan kepada sesetengah orang boleh diberi sentuhan moden dan ‘nouveau’ (terkini) yang bersifat antarabangsa,” kata Bernard.
CFE adalah satu projek yang bertujuan untuk meraikan bakat fesyen dan rekaan yang diiktiraf melibatkan 53 negara.
Dari Buckingham Palace, rekaan untuk CFE akan dipindahkan ke lokasi lain sekitar London untuk tontonan awam pada April ini. – MalaysiaGazette