Home Ekonomi Kerajaan, syarikat Korea Selatan tandatangan MoU bangun Bandar Pintar

Kerajaan, syarikat Korea Selatan tandatangan MoU bangun Bandar Pintar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Mohd Najib Ibrahim (kiri) dan Presiden Jawatankuasa ICT SK SUPEX, Park Jung Ho (kanan) pada majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Kementerian Kewangan dan SK Group Korea Selatan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat dari Korea Selatan, SK Group, bagi membangunkan Bandar Pintar Lautan Biru yang akan bermula di Cyberjaya.

Majlis menandatangani Mou antara syarikat berkaitan kerajaan, Cyberview Sdn Bhd dengan dua syarikat subsidiari, SK Holdings dan SK Telecom disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tandatangan MoU pertama ini akan jadi permulaan kepada pengembaraan kerjasama kreatif dengan SK Group dalam beberapa bidang utama seperti ICT, 5G, gas dan minyak, teknologi hijau dan juga pembangunan bandar.

“Perjanjian kedua MoU antara Cyberview dan SK Group melibatkan pembangunan Bandar Pintar Lautan Biru di Malaysia, bermula di Cyberjaya,” kata Najib ketika menyampaikan ucaptama di Hotel Mandarin Oriental pagi ini.

Langkah pertama yang akan diambil oleh SK Group adalah membuka Ibu Pejabat Serantau di Malaysia yang meliputi ASEAN, India dan Asia Barat.

Menurut Najib, langkah SK Group memilih Malaysia membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap kemampanan ekonomi negara.

“Malaysia akan menjadi pusat kepada cita-cita SK Group untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini, ia juga menandakan keyakinan mereka terhadap negara kita,” katanya.

Menurut Najib, langkah pembangunan Bandar Pintar Lautan Biru akan menjadi model bandar pintar yang boleh dibangunkan di kawasan bandar lain seluruh Malaysia.

“Saya yakin dengan kerjasama bersama SK Group, dengan kepakaran teknologi dan pengalaman mereka ia akan memberi nilai tambah kepada ekonomi negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

+ posts