AFGHANISTAN – Seramai 18 anggota tentera maut selepas pemberontak Taliban menyerang pos tentera di barat wilayah Farah baru-baru ini, kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Dawlat Waziri.
Namun, Dawlat tidak mempunyai maklumat mengenai serangan itu tetapi Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan dan mendakwa dua anggotanya turut terkorban.
“Kami kehilangan 18 anggota, manakala dua lagi cedera selepas sekumpulan pemberontak Taliban menyerang pos tentera, pada malam Jumaat,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang maut, manakala enam lagi cedera dalam serangan pengebom nekad di Kabul.
Kejadian itu adalah yang terbaharu dalam beberapa siri serangan ke atas Kabul, yang sudah membunuh dan mencederakan ratusan mangsa.
Sejak 27 Januari lalu, Kabul diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, berikutan kejadian pengebom nekad meletupkan sebuah ambulans yang penuh berisi bahan letupan di sebatang jalan yang sibuk.
Letupan itu menyebabkan lebih 100 mangsa terbunuh, sementara sekurang-kurangnya 235 lagi cedera. -MalaysiaGazette