BATU PAHAT – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meminta ahli dan pemimpin parti itu untuk bersiap-sedia untuk mempertahankan parti dalam masa sama memastikan kemenangan pada pilihan raya yang akan datang.
Ujarnya, semua pihak perlu menggembleng usaha, tenaga dan terus bermuafakat memastikan perjuangan parti tidak dinoktahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
“Sudah sampai masanya untuk kita semua (UMNO) bangkit berdepan dengan PRU yang bukan biasa-biasa kali ini kerana kita terpaksa hadapi ujian yang tidak pernah kita hadapi dalam mana-mana PRU sebelum ini.
“Kita pernah berada di persimpangan dan keliru kerana sayangkan beberapa pemimpin yang meninggalkan parti sehingga terpaksa membuat pilihan sukar antara kawan atau perjuangan parti.
“Dulu ada yang fikir UMNO Johor tidak mungkin boleh bersatu balik, namun kita, ahli dan pemimpin di Johor sejak dulu membuktikan tidak pernah pentingkan agenda peribadi melebihi perjuangan dan kesetiaan kita terhadap parti.
“Saya tahu sekarang adalah masa yang sukar kerana berdepan ujian, namun masa susah inilah kita perlu bangkit meneruskan perjuangan dan menunjukkan kesetiaan pada parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kepimpinan UMNO Bahagian Ayer Hitam, Parit Sulong dab Simpang Renggam di Bangunan Komuniti UMNO Ayer Hitam.
Beliau dalam masa yang sama bangga dengan muafakat ahli serta pemimpin UMNO Johor yang utuh berpegang kepada prinsip perjuangan parti. -MalaysiaGazette