Home Ekonomi Hubungan bilateral mampu tarik perusahaan pertanian China

Hubungan bilateral mampu tarik perusahaan pertanian China

President MCCC, Tan Yew Sing berucap di Malaysia China Chamber of Commerce (MCCC) di The Federal Hotel, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 24 FEBRUARI2018

KUALA LUMPUR – Kerjasama yang semakin erat antara China dan Asean akan menggalakkan kemasukan lebih banyak perusahaan pertanian China ke dalam rantau ini pada masa hadapan, kata Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC).

Presiden MCCC Tan Yew Sing menjangkakan lebih banyak teknologi China akan digunakan dalam Asean bagi menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi dan berkos rendah, seterusnya, mengembangkan teknologi pertanian China yang sudah maju di rantau ini.

Beliau menyeru kerajaan dan komuniti perniagaan untuk mengambil kesempatan di atas perhubungan dua hala perdagangan China-Malaysia, dengan meletakkan inovasi teknologi sebagai matlamat bagi mengembangkan lagi industri tradisional tempatan.

“Pertumbuhan penduduk dunia telah menjejaskan penggunaan sumber bumi oleh manusia. Jadi, pertanian moden perlu dibangunkan bagi membawa ke arah kecekapan yang lebih tinggi dan berintensifkan pengetahuan,” katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Tahun Baru Cina MCCC 2018 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.- BERNAMA