KUALA LUMPURĀ – Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar mengakui masih banyak usaha penerangan perlu dilakukan khususnya dalam membetulkan persepsi negatif pengundi akibat mainan politik kebencian pembangkang.
Lanttaran itu tidak hairanlah jika masih ramai pengundi muda kawasan itu di bandar masih bertanyakan tentang manfaat yang bakal diperoleh sekiranya mereka memilih BN pada pilihan raya akan datang, kata pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
“Bukan saya kata mereka (pengundi luar Sungai Besar) ini terpinggir atau terkongkong.
“Cuma mereka nak tahu sejauh manakah Kerajaan BN selepas ini boleh memajukan negara dan hasil daripada limpahan negara ini mereka akan dapat manfaatnya.
“Saya yakin dan percaya mereka yang mengajukan soalan itu merasakan dihimpit dengan bebanan, di mana soalannya apa mereka dapat jika BN menang,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengundi Parlimen Sungai Besar di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, di sini, malam semalam.
Hadir sama Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam dan Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.
Jamal juga berkata, pelbagai manfaat bakal diperolehi sekiranya pengundi dapat memastikan BN kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) khususnya di Selangor.
Jelasnya, keamanan dan kemakmuran negara sejak sebelum merdeka hingga kini antara bukti jelas BN berkemampuan dan berkeupayaan mentadbir negara.
“Bukan setakat pembangunan tetapi yang lebih pentingnya adalah keamanan, kemakmuran dan perpaduan dalam kalangan Melayu, Cina, India dan lain-lain,” katanya.
Jamal selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar juga berkata, pengundi perlu membuat pilihan tepat dengan memilih BN berbanding Pakatan Harapan (PH) yang sering menimbulkan suasana tegang hingga boleh menjejaskan perpaduan.
“Kalau kita lihat di negara luar, mana ada negara seperti Malaysia, sudah pasti mereka akan bercakaran dan berperang saudara.
“Di atas kebijaksanaan dan kepimpinan BN inilah dapat memakmurkan keamanan, ini yang paling mustahak.
“Selepas aman, makmurĀ barulah ekonomi boleh berkembang, kalau tak aman, tak makmur, macam mana kita nak membangunkan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette.