Home Politik Rumah percuma jadi manifesto BN Selangor – Jamal

Rumah percuma jadi manifesto BN Selangor – Jamal

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengundi Parlimen Sungai Besar di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, Kuala Lumpur, malam semalam.

KUALA LUMPUR – Rakyat Selangor bakal mendapat rumah secara percuma sekiranya para pengundi memberi mandat dan kepercayaan semula kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pemberian rumah percuma bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan susulan Selangor mempunyai rizab berbilion ringgit dan termaju di negara ini.

“Kita bagi percuma saja kepada rakyat, apa masalahnya kerana Selangor adalah negeri terkaya dan termaju dalam Malaysia.

“Apa gunanya Azmin Ali selaku Menteri Besar mengumumkan berbilion ringgit rizab negeri hingga beliau tak tahu nak buat apa dengan rizab ini.

“Apabila BN menang di Selangor, saya akan membawa dan mempertahankan kebajikan supaya seluruh rakyat Selangor yang kurang berkemampuan ini akan mendapat rumah percuma daripada kerajaan negeri,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengundi Parlimen Sungai Besar di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, di sini, malam semalam.

Hadir sama Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam dan Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Jamal juga berkata, beliau ada berbincang dengan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar mengenai cadangan pemberian rumah percuma itu malah ia tidak mustahil dilaksanakan sekiranya pemaju tidak melanggar syarat.

“Rumah percuma ini mungkin kita akan masukkan dalam manifesto. BN Selangor. Sebenarnya sangat mudah nak beri rumah percuma ini kepada rakyat berpendapatan rendah.

“Keutamaan diberikan kepada pasangan baru berkahwin, tidak mempunyai kediaman dan berpendapatan rendah antara RM2,500 hingga RM3,000 ataupun mengikut pra-syarat daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” jelasnya.

Katanya lagi, kegagalan Skim Rumah SelangorKu didakwa berpunca daripada sikap ‘pilih bulu’ dan dasar diskriminasi yang diamalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana perbezaan politik.

“Apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan Selangor, kalau seseorang itu cenderung kepada BN, sampai ke sudah mereka tidak akan dapat rumah.

“Berbeza dengan kerajaan BN macam BR1M semua rakyat Malaysia dapat, tidak kita fahaman politik mereka,” katanya lagi – MalaysiaGazette.