PEKAN – Tidak dapat dinafikan pemberian tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan mendapat sokongan rakyat.
Rata-rata terharu kerana kerajaan menjaga kebajikan golongan yang memerlukan dan mahu bantuan itu diteruskan.
Bermula esok, penerima BR1M yang layak akan menerima wang tunai mengikut kategori masing-masing.
Penerima BR1M, Zulkamara Abdul Rahim, 48, berkata, agihan tunai itu membantu untuk membeli persiapan bagi anaknya yang bakal melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pada Mei ini
“Saya dapat BR1M ini sejak dari mula ia diperkenalkan dan saya amat bersyukur kerana ia dapat membantu saya serba sedikit.
“Lagi-lagi seorang anak saya akan menyambung pelajaran Ijazah pada bulan Mei depan… jadi dengan BR1M ini saya dapat juga gunakan untuk persiapannya nanti,” kata beliau semasa ditemui selepas pelancaran BR1M 2018 hari ini.
Sementara itu, warga emas Norehan Daud, 62, pula menarik nafas lega kerana wang BR1M itu dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan ubat suaminya yang strok sejak enam tahun lalu, selain menampung pembelajaran anak bongsunya.
“Saya perlu wang untuk bayar bil elektrik dan belanja harian… lagi pun suami strok, banyak juga perbelanjaan yang diperlukan untuk menampung perubatan setiap bulan,” kata beliau.
Suami beliau, Marzuki Awang Ahmad, 62, yang turut menerima BR1M melahirkan rasa syukur dengan pemberian kerajaan itu kerana wang tersebut amat diperlukan untuk menanggung kos perubatan.
“Alhamdulilah dengan pemberian BR1M ini, ia sekurang-kurangnya boleh menampung sara hidup sekeluarga, di samping itu dapat juga digunakan untuk tampung perubatan saya,” katanya.
Marzuki juga berharap pemberian BR1M ini diteruskan pada masa hadapan kerana banyak manfaatnya kepada rakyat.
Bagi, Mohd Daud Fadzir, 50, pula wang BR1M yang diterimanya setiap tahun dimanfaatkan untuk tujuan pertaniannya seperti membeli baja dan benih padi.
“Daripada BR1M saya gunakan setiap tahun untuk tampung aktiviti pertanian sawah padi saya.
“Dengan duit ini, saya gunakan untuk bayar upah bajak, membeli benih padi dan juga baja… Ia sedikit sebanyak mengurangkan beban saya dalam aktiviti pertanian yang saya usahakan ini,” kata beliau.
Menurut Mohd Daud, wang BR1M perlu dimanfaatkan sebaiknya dan penerima BR1M tidak sewajarnya membazir dengan berbelanja untuk perkara tidak berfaedah.
“Kita terima pemberian ini sepatutnya digunakan dengan sebaiknya, seperti saya gunakan untuk tujuan pertanian di sawah saya,” katanya lagi.
Pada tahun ini, dijangka lebih 7.2 juta penerima akan menerima manfaat BR1M dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.
BRIM 2018 akan diberikan secara berperingkat di mana, agihan akan dibuat sebanyak 3 kali iaitu pada bulan Februari, Jun dan Ogos. – MalaysiaGazette