Home Nasional Kerajaan bantu rakyat melalui pengembangan ekonomi – Najib

Kerajaan bantu rakyat melalui pengembangan ekonomi – Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Pelaburan Groupe PSA dalam Naza Automotive Manufacturing Plant Gurun Kedah di Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 26 FEBRUARI 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan cuba membantu rakyat dengan mengembangkan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan apabila mengundang banyak syarikat asing ke negara ini.

Tetapi malangnya menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tindakan itu sering disalah anggap oleh pembangkang yang cuba memesongkan fikiran rakyat dengan mengatakan kerajaan mahu menjual negara kepada orang luar.

“Saya pasti kerjasama di antara Naza Group dengan Groupe PSA dari Perancis akan mencipta satu lagi kisah kejayaan yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

“Ini kerana kerjasama sebegini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, menerajui pemindahan “know-how”, meningkatkan kepakaran, keberkesanan dan bakat yang akan meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat.

“Tetapi anda tidak akan mendengar semua ini daripada pembangkang. Setiap kali ada syarikat asing mahu datang ke Malaysia, mereka akan mendakwa kerajaan mahu menjual negara sedangkan kami tidak pernah berbuat demikian. Mereka cuba mengelirukan rakyat.

“Kami hanya mahu cuba membantu dan rakyat membangunkan negara,” katanya ketika berucap di majlis pemeteraian perjanjian di antara Naza Group dengan Groupe PSA di sini hari ini.

Menurut Najib, kerjasama antara Naza Group dengan Groupe PSA itu akan menghasilkan transformasi positif kepada industri automotif negara.

Groupe PSA adalah pengeluar kereta kedua terbesar Eropah dan mempunyai operasi di 160 negara di seluruh dunia serta memiliki 170,000 pekerja.

Tambah Najib, kerjasama-kerjasama sebegini telah banyak membantu rakyat serta menyumbang kepada kerajaan negara di bawah Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan pada 2011.

“Ini berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu memberi janji palsu dan tidak berani untuk berpegang pada pendirian.

“Mereka tidak tahu bagaimana mahu menggantikan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun lalu sebanyak RM44 bilion, contohnya.

“Jika ikut rancangan mereka, penarafan kredit negara pasti akan jatuh, kos pinjaman akan meningkat dan Malaysia akan kehilangan daya tarikan sebagai destinasi pelaburan langsung asing.

“Ini seterusnya menyebabkan rakyat biasa akan menderita,” katanya. – MalaysiaGazette