Home Ekonomi Pertimbang kawalan import gandum, bijiran

Pertimbang kawalan import gandum, bijiran

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) meminta kerajaan membuat kawalan yang lebih ketat dalam pengimportan gandum dan bijirin lain.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, memandangkan komoditi tersebut 100 peratus diimport, tindakan perlu diambil bagi memastikan bekalan mencukupi, sejajar dengan peningkatan penggunaan gandum di negara ini saban tahun.

“Kami menyeru kerajaan supaya prihatin terhadap situasi semasa, dengan menyediakan perancangan teliti dan komprehensif bagi menangani cabaran sedia ada.

“Ini termasuk menjalankan kaedah penyimpanan stok, tanpa bergantung sepenuhnya kepada syarikat-syarikat asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara amnya, beliau berkata, penggunaan komoditi tersebut meningkat 60 peratus sejak 2008 hingga 2017, berbanding peningkatan penggunaan beras sebanyak 10 peratus dalam tempoh yang sama.

Mohamed Shafie berkata kajian yang dijalankannya mendapati bijirin gandum dikawal secara pukal oleh beberapa syarikat, yang turut memproses gandum menjadi tepung.

Ini katanya, berkemungkinan mewujudkan senario kartel dan mengehadkan persaingan serta menjurus kepada situasi harga dan bekalan dapat dimanipulasi dan dikawal syarikat-syarikat terbabit.

Situasi ini turut menimbulkan persoalan termasuk proses permit syarikat serta penurunan harga gandum dunia yang tidak dicerminkan pada harga tepung di Malaysia yang mendapat subsidi kerajaan.

Selain itu, Mohamed Shafie berkata, pihaknya turut mendapati komoditi tersebut dibawa masuk ke negara ini menerusi Singapura, yang mungkin menyebabkan kenaikan harga komoditi itu dalam negara.

“UNI-MLC mengetengahkan perkara ini kerana impaknya penting kepada ahlinya, khusus golongan pekerja serta seluruh rakyat Malaysia yang secara amnya meliputi kumpulan Bawah 40 (B40) dan Pertengahan 40 (M40),” katanya. – MalaysiaGazette