KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan kerana melakukan 623 kesalahan jenayah seksual terhadap anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun menfailkan rayuan bagi mengurangkan hukuman penjara itu.
Rayuan lelaki berusia 37 tahun yang sebelum ini bekerja sebagai ejen unit amanah itu akan didengar pada 23 April ini di Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini.
Penolong Kanan Pendaftar Nur Ain Mustapa menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes tersebut di hadapannya, hari ini dengan dihadiri lelaki itu yang juga perayu, manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin.
Aimi Syazwani memberitahu wakil media, mahkamah memerintahkan perayu melantik peguam untuk mewakilinya dan memintanya memohon bantuan pihak penjara bagi melantik peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
“Mahkamah memberitahu perayu sekiranya gagal melantik peguam pada tarikh perbicaraan rayuan, dia perlu mewakili kesnya sendiri,” kata Aimi Syazwani sambil menambah lelaki itu menfailkan rayuannya pada Oktober tahun lepas, iaitu sebulan selepas dijatuhkan hukuman.
Lelaki itu yang memakai baju penjara berwarna merah yang kelihatan sedikit kurus, memasuki bilik mahkamah pada 9.30 pagi.
Kesnya mendapat perhatian ramai kerana ini pertama kali seorang tertuduh menghadapi pertuduhan jenayah seksual yang sangat banyak.
Pada 8 September 2017, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah atas 591 pertuduhan meliwat, 30 pertuduhan melakukan seksual fizikal, satu pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa yang juga anak perempuan sulungnya.
Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun bagi kesalahan merogol, manakala untuk penganiayaan seks, bapa tiga anak itu dihukum penjara 20 tahun.
Dia juga dihukum penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan melakukan seksual fizikal dan ketiga-tiga hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 26 Julai lepas.
Oleh itu bagi ketiga-tiga hukuman tersebut, lelaki berkenaan perlu menjalani hukuman penjara selama 28 tahun.
Bagi 591 kesalahan liwat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak selepas dia tamat menjalani hukuman penjara 28 tahun itu.
Yong Zarida juga menjatuhkan hukuman 24 sebatan terhadap lelaki itu bagi kesalahan meliwat, melakukan seksual fizikal dan merogol.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan selama 10 tahun dan menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara serta diarahkan membayar wang pampasan kepada mangsa berjumlah RM10,000, dan boleh dipenjara selama 12 bulan jika gagal menjelaskan denda itu.
Dia juga diperintahkan untuk menyempurnakan bon berkelakuan baik untuk tempoh lima tahun dengan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.
Mengikut fakta kes, pada 25 Julai 2017 pada 5.30 petang, mangsa pergi ke rumah ibu kandungnya yang merupakan pengadu dalam kes ini dalam keadaan kemurungan.
Mangsa tinggal dengan bapanya di rumah sewa bapanya selepas ibu bapanya bercerai pada awal Januari 2017 sehingga laporan polis dibuat oleh pengadu pada 25 Julai tahun yang sama selepas mangsa menceritakan kepada pengadu apa yang berlaku.
Sebelum itu mangsa bimbang akan dimarahi dan dipukul bagaimanapun mendapat kekuatan apabila bapanya menyatakan hasrat untuk mengambil adiknya tinggal bersama mereka dan dia bimbang perkara sama berlaku kepada adik-adiknya. – MalaysiaGazette