Home Dunia AS potong bantuan kepada Kemboja

AS potong bantuan kepada Kemboja

Parti Rakyat Kemboja yang dipimpin oleh Hun Sen memenangi kesemua 56 kerusi senat dalam pilihan raya baru-baru ini. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat telah menangguhkan beberapa program bantuan ke Kemboja atas kebimbangannya anti-demokrasi di negara itu.

Pada tahun lalu, parti pembangkang utama negara itu dibubarkan dan pemimpinnya didakwa dengan pertuduhan mengkhianat.

Pada hari Isnin, parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja diumum telah memenangi setiap kerusi dalam pilihan raya Senat.

Keputusan itu telah dipersoalkan oleh kumpulan antarabangsa dan Kesatuan Eropah telah mengancam sekatan ekonomi sebagai tindak balas.

Kerajaan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan mengumumkan pemotongan bantuan berkata: “Dana pembayar cukai Amerika tidak digunakan untuk menyokong kelakuan anti-demokratik.”

Amerika Syarikat berkata, negara itu memperuntukan lebih daripada AS$1 bilion untuk menyokong Kemboja sebagai rakan pembangunan bersama lebih 25 tahun lalu, tetapi perkembangan terkini di negara itu menimbulkan kebimbangan.

Pemotongan bantuan itu akan menjejaskan bantuan ketenteraan dan program perbendaharaan tetapi Amerika Syarikat terus menyokong kepada projek-projek pembiayaan rakyat Kemboja seperti kesihatan, pembersihan lombong dan pertanian.

Jumlah wang yang dikurangkan kira-kira berjumlah AS$8.3 juta.

Kerajaan Kemboja dilihat semakin menjauhi barat dan mendekati China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mu Sochua, bekas Timbalan Ketua Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang dibubarkan, mengalu-alukan langkah itu.

Beliau memberitahu, Kemboja telah menjadi “satu pihak, satu negeri”, dan meminta semua bantuan langsung asing kepada kerajaan itu digantung.

Pentadbiran Donald Trump telah mengumumkan sekatan visa ke atas anggota kerajaan Kemboja pada bulan Disember lalu.

Perdana Menteri Hun Sen telah memerintah negara selama 33 tahun, dituduh menggunakan mahkamah dan pasukan keselamatan untuk menakutkan parti pembangkang. – MalaysiaGazette