KUALA LUMPUR – Penganalisis politik menyifatkan sikap Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang tidak dapat menerima kritikan daripada pemimpin MCA ekoran isu melibatkan taikun gula, Robert Kuok bakal memberi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN).
Lebih membimbangkan, ia akan menganggu usaha BN mengekalkan kemenangan pada PRU-14 kerana boleh memecahbelahkan perpaduan kaum.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, bahasa kasar yang digunakan Mohamed Nazri boleh menimbulkan salah faham.
Lebih-lebih lagi ia dituju tepat kepada pemimpin kaum Cina dalam parti komponen BN, katanya.
“Saya rasa cara paling baik pemimpin dalam BN dan komponen jika ada masalah selesaikanlah secara dalaman bukan bercakap secara terbuka.
“Memang sudah diketahui Mohamed Nazri itu memang kasar. Nak dekat dengan PRU-14 bila jadi begini hanya beri impak yang negatif terutama dalam kalangan masyarakat Cina.
“Jika mereka lihat perkara ini terpencil tidak mengapa, tapi dibimbangi jika ia nanti dikaitkan dengan Melayu itu adalah UMNO dan Mohamed Nazri itu Melayu atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Kok Seong berkata, langkah dua pemimpin MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Datuk Seri Ti Lian Ker yang membidas Mohamed Nazri itu sebenarnya bukan bermakna mereka membela Kuok.
Ujarnya, Kuok memang dikenali sebagai seorang yang berjasa pada negara ini dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir pula menegaskan, Mohamed Nazri seharusnya lebih arif apabila membuat kenyataan lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang menteri kanan dan pemimpin UMNO.
Tegasnya, sebagai seorang yang berbangsa Melayu, Ahli Parlimen Padang Rengas itu harus mempunyai kesantunan dalam tindak tanduknya dan tidak boleh bercakap sebarangan.
“Kenyataannya yang seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya tetapi ia boleh beri kesan juga kepada parti. Dia sepatutnya boleh berfikir ke arah itu,” ujarnya.
Jeniri menambah, Mohamed Nazri terlalu yakin membuat kenyataan dalam apa sahja isu kontroversi termasuk menimbulkan konflik pelbagai pihak seperti apa yang dilakukan terhadap seorang pemimpin di Sarawak sebelum ini.
Katanya, dalam mengamalkan politik yang beradab dan berbudaya, Mohamed Nazri tidak wajar menghentam habis-habisan pengkritiknya dengan menggunakan kata-kata kesat dan sehingga akan membawa kesan berpanjangan.
“Agaknya hanya Mohamed Nazri seorang sahaja yang ‘pandai’ di Malaysia ini dan orang lain semua ‘bodoh’.
“Saya tidak hairan kalau saya juga dikatakan bodoh oleh Mohamed Nazri kerana sesiapa yang bertentangan dengannya dia akan lakukan apa sahaja untuk menjatuhkan maruah mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette