KUALA LUMPUR – Perjuangan Pas mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta 355 di Parlimen digeruni oleh DAP kerana khuatir bukan Islam akan memilih hukum Islam di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tidak mustahil hukum Islam menjadi pilihan bukan Islam di negara ini kerana hukuman yang dikenakan tidak mencedera dan mencacatkan pesalah khususnya melibatkan hukuman sebat.
“Ini menakutkan DAP dan parti-parti yang bukan Islam. Pasal apa dia takut? Kerana kalau diamalkan, orang bukan Islam akan pilih hukum Islam. Ini berlaku di Aceh. Di Aceh, Indonesia diberi peluang untuk melaksanakan hukum Islam.
“Di mana orang-orang Cina yang bukan Islam di Aceh, diberi pilih sama ada nak hukum Islam ke hukum manusia? Tiba-tiba orang bukan Islam pilih hukum Islam, ini yang dia takut.
“Takut orang bukan Islam ini tengok Islam ini. Itu dalam bab undang-undang jenayah,” katanya dipetik Harakahdaily dalam Ceramah Perasmian Markaz Dun Alur Limbat di Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu, semalam.
Abdul Hadi berkata, walaupun hukum Islam khususnya hukuman sebat buat pesalah zina dan peminum arak menggerunkan DAP, namun jauh berbeza dengan hukum sebat undang-undang sivil buatan manusia.
“Di mana hukum Islam yang hebat dan menggerunkan? Disebut sebat 20 kali, sebat 100 kali. Sebatannya tidak boleh memecahkan kulit, tidak boleh mencederakan. Untuk memalukan mereka yang buat salah, macam cikgu sebat anak murid, begitu sahaja.
“Sebatan penjara, undang-undang manusia hari ini bila dia pukul, pecah kulit, tubik isi, menyeksakan walaupun bunyinya enam rotan, tiga rotan, sekali kena sebat macam nak mati. Ini bezanya. Kita nak perkenalkan ini sahaja,” katanya.
Katanya lagi, usaha Pas memperjuangkan RUU355 tanpa henti kini membuahkan hasil apabila bukan sahaja ahli parlimen bahkan jemaah hakim turut menyokong pelaksanaannya.
“Hasil daripada dakwah kita menyebabkan ketua hakim negara, peguam negara dan ramai hakim menyokong cadangan PAS ini. Sehingga beberapa wakil rakyat kerajaan juga menyokong pelaksanaan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.