SEKINCHAN – Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim didakwa pernah ‘menganggu’ urusan solat jenazah Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon pada dua tahun lepas.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos mendakwa Suee Lim berdiri sebaris dengan umat Islam lain yang mahu menunaikan solat jenazah di Masjid Sungai Burong ketika kejadian.
“Dia boleh duduk (dalam saf) dia tak faham ker agama Islam ini macam mana? Sudah tiga penggal jadi wakil rakyat di Sekinchan ini, masuk dalam masjid sebaris dengan kita sembahyangkan jenazah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli-ahli UMNO Cawangan Kampung Tali Air 6 Tengah semalam.
Sambil menyifatkan tindakan pemimpin DAP itu sebagai kurang ajar, Jamal menegaskan, Suee Lim sepatutnya tunggu di luar masjid sekiranya mahu memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ahli Parlimen Sungai Besar itu dan bukan berada di ruang solat.
“Ini duduk terkumat-kamit mulut dia. Saya hari itu nak lempang saja, tapi mengenangkan dalam masjid.
“Di luar masjid saya sudah beri amaran kepada dia, saya kata YB you kurang ajar, you tak tahu adab ker? Kita ini nak sembahyang, kalau you nak beri penghormatan, kena duduk di luar,” ujarnya mengimbas semula kejadian pada tahun 2016 itu.
Justeru, Jamal mahu pengundi di DUN Sekinchan perlu menolak pemimpin DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana penyandangnya terbukti gagal memahami sensitiviti umat Islam.
Noriah bersama suaminya, Asmuni Abdullah terkorban dalam nahas helikopter AS350 berdekatan dengan Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei 2016.
Jenazah mereka telah dibawa balik ke Selangor dan dikebumikan di Tapak Pengkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong, Sabak Bernam.- MalaysiaGazette