BANGKOK – Gara-gara menghadapi tekanan hidup seorang wanita mereka-reka cerita mendakwa dirinya dirompak seorang pemandu teksi.
Tambah tragis lagi apabila dia turut mencederakan dirinya sendiri menggunakan pisau cukur sebelum membuat laporan polis.
Laman portal Asia One melaporkan, wanita itu Thongprakai Suksrirat, 26, turut memuat naik gambar pada laman Facebook miliknya dengan posting dia diserang semasa menaiki teksi dari sebuah pusat hiburan di Ratchadaphisek, Bangkok untuk pulang ke kondominiumnya di Seri Thai
Menerusi posting tersebut, dia mendakwa kehilangan beg tangan bersama kad ATM, kad pengenalan dan wang tunainya berjumlah 14,000 THB (RM1745.78) telah disamun dalam insiden tersebut.
Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Lat Prao pada pukul 3.45 pagi hari yang sama.
Bagaimanapun, sumber polis mendedahkan anggota penyiasat meragui cerita wanita itu dan selepas disoal siasat, penipuan Thongprakai akhirnya terbongkar, yang membawa kepada dia berdepan hukuman penjara kerana membuat laporan palsu.
Polis berkata, mereka tidak melihat sebarang insiden rompakan selepas meneliti rakaman kamera keselamatan di persimpangan berdekatan tempat kejadian.
Rakaman tersebut hanyalah memaparkan Thongprakai turun dari sebuah teksi dan terus masuk ke kondominiumnya sahaja.
Wanita itu juga tidak berhenti di persimpangan untuk mengeluarkan duit sepertimana yang didakwa olehnya.
Ketua Polis Prao, Leftenant Polos, Kolonel Passakorn Ratanapanadda berkata, Thongprakai akan menghadapi dua pertuduhan termasuk memfailkan laporan palsu dengan pihak berkuasa.
Bagi tuduhan tersebut sekiranya disabitkan, dia boleh dipenjara tiga tahun, dan didenda maksimum 5,000 THB (RM623.30).
Dia juga didakwa melanggar akta jenayah komputer, dengan menyiarkan tuduhan palsu di laman Facebooknya, yang mana jika disabit, dia boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda sebanyak 100,000 THB (RM12,465.96). – MalaysiaGazette