SEPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dinobatkan sebagai ‘Bapa Pengangkutan Udara Tambang Rendah’ oleh syarikat penerbangan AirAsia.
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandez susulan Perdana Menteri menjadi tulang belakang kepada kejayaan syarikat penerbangan itu pada hari ini.
Sempena anugerah itu Najib dihadiahkan sebuah pesawat replika AirAsia di hadapan lebih 2,000 kakitangan syarikat itu dari seluruh negara.
Menurut Tony, tanpa ‘restu’ daripada Perdana Menteri, AirAsia tidak mungkin boleh diperkenalkan di negara ini, lebih-lebih lagi ia menawarkan tiket penerbangan jauh lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain di negara ini.
“Kejayaan AirAsia hari ini baik untuk Malaysia dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan kehidupan rakyat Malaysia seperti mana yang disasarkan oleh Perdana Menteri.
“Saya tidak ragu apabila Datuk Seri beri kami terminal tambang murah sebenar, kita boleh menjadikan AirAsia syarikat penerbangan terbesar bukan sahaja AirAsia bahkan di peringkat dunia,” katanya berucap pada Majlis Perasmian ibu pejabat AirAsia, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun.
Najib juga pada majlis sama merasmikan ibu pejabat AirAsia baharu yang dinamakan RedQ terletak bersebelahan dengan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini.
Tony dalam ucapannya berkata, syarikat penerbangan itu sentiasa mengutamakan kakitangan dan memastikan suasana bekerja sihat dan menceriakan.
Kakitangan AirAsia dan AirAsia X berpindah masuk secara rasmi ke RedQ pada November 2016.
RedQ yang direka bentuk dengan estetika industri dan mempunyai keluasan 18,000 kaki persegi serta lebih 2,000 kediaman untuk kakitangan.
Antara kemudahan lain di RedQ ialah pusat asuhan kanak-kanak, pusat fisioterapi, klinik kesihatan, gimnasium dengan pelatih peribadi, pod tidur, kafeteria, T&C Coffee Bar, Salad Bar dan sebagainya. – MalaysiaGazette