Home Ekonomi PM rasmi ibu pejabat AirAsia baharu, RedQ

PM rasmi ibu pejabat AirAsia baharu, RedQ

Tony Fernandes

SEPANG – Selepas beroperasi hampir 23 tahun, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad boleh berbangga apabila kini mempunyai kompleks sendiri bersebelah dengan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Kompleks menempatkan ibu pejabat syarikat korporat itu yang dikenali sebagai RedQ kini beroperasi sepenuhnya selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes selepas AirAsia menobatkan beliau sebagai Bapa Penerbangan Kos Tambang Murah pada Majlis Perasmian Ibupejabat AirAsia RedQ di KLIA2, Sepang, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 01 MAC 2018

Perasmian RedQ itu disaksikan lebih 2,000 kakitangan AirAsia (Allstars) yang turut hadir dan melalui siaran secara langsung dari hab syarikat itu di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan AirAsia X, Tan Sri Fernandez berkata, pihaknya sentiasa mendahulukan kakitangannya dan pembinaan RedQ juga adalah untuk manfaat semua pihak.

“RedQ telah direka untuk para Allstars menjalani gaya hidup yang ceria dan sihat. Kejayaan sebuah syarikat bergantung kepada para kakitangannya.

“Kami ingin mewujudkan sebuah pejabat yang telus, dengan sistem meritokrasi dan digital, berinovasi serta menerima kepelbagaian budaya.

“Ini supaya kakitangan kami mempunyai peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya dan menjadi terbaik. Kerana inilah AirAsia telah merangkul anugerah syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama sembilan tahun berturut-turut,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat AirAsia, RedQ di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun ketika merasmikan Ibupejabat AirAsia RedQ di KLIA2, Sepang, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 01 MAC 2018

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun.

Kakitangan AirAsia dan AirAsia X di Malaysia secara rasminya telah berpindah ke RedQ pada November 2016.

Bangunan RedQ direka dengan estetik perindustrian dengan berkeluasan 18,000 meter kaki persegi dan boleh memuatkan lebih 2,000 orang kakitangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun selepas AirAsia bergambar dengan sebahagian kakitangan AirAsia pada Majlis Perasmian Ibupejabat AirAsia RedQ di KLIA2, Sepang, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 01 MAC 2018

Antara kemudahan yang disediakan di RedQ termasuklah Pusat Jagaan Kanak-kanak Lil Star, pusat fisioterapi, klinik Allstar, gimnasium dengan jurulatih peribadi, pod tidur, kafetaria, kedai kopi T&Co, kedai salad, dan gelongsor setinggi tiga tingkat. – MalaysiaGazette