Home Nasional Malaysia-AS kongsi kepakaran hadapi ancaman bio

Malaysia-AS kongsi kepakaran hadapi ancaman bio

Sebahagian anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bomba dan Penyelamat melakukan demonstrasi pada Majlis Penutup Bengkel Biological Responce Investigation Training and Evaluation (BRITE III) di Dewan Theatrette 2, Bangunan Akademik,Pulapol, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempersiapkan diri untuk menghadapi ancaman atau insiden bio keselamatan atau penyebaran penyakit berkaitan kimia yang menjadi trend jenayah peringkat global.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi antaranya Biro Penyiasatan Pusat (FBI) dalam agensi bagi menghadapi jenayah merentasi sempadan.

Dalam memerangi sebarang insiden berkaitan bio kimia pihaknya perlu menjalinkan kerjasama kukuh dengan negara lain dan tidak boleh sekadar menangani ancaman di dalam negara sahaja tetapi juga di rantau Asia dan global.

“Insiden bio boleh berlaku dimana-mana lokasi di negara ini dan dalam keadaan itu polis kita perlu tahu peranan mereka dan cara mengendalikannya secara selamat.

“Kita akan buat lagi bengkel latihan kerjasama  Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dengan memastikan responder termasuk agensi dari dalam negara, AS seperti FBI dan pakar agensi pertahanan AS ke Malaysia.

“Kita tak dapat jangka dimana akan berlaku dan bila insiden bio (bahan kimia) ini dan sentiasa kena bersedia. Kita bekerjasama dalam latihan kerana insiden boleh berlaku di mana-mana tempat dan negeri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap ketika sidang media pada Majlis Penutup Bengkel Biological Responce Investigation Training and Evaluation (BRITE III) di Dewan Theatrette 2, Bangunan Akademik,Pulapol, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2018.

Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerjasama PDRM dengan pihak berkuasa AS menghadapi ancaman bio keselamatan pada peringkat negara dan global.

Beliau menyempurnakan Penutupan Bengkel Kebangsaan Penilaian dan Latihan Penyiasatan Insiden Bio: Latihan untuk Pelatih buat kali ke-3 di Bangunan Akademi di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir Duta AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, Ketua Pengarah Institut Penyelidika Sains dan Teknologi Pertahanan, Dr. Mohmad Asri Abd Ghani.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Rashid berkata, bengkel berkenaan akan membantu perkongsian kepakaran kedua-dua negara. dalam penyiasatan insiden bio kepada setiap polis di negara ini mengenai peranan mereka sebagai responden pertama di lokasi sebelum bantuan pakar sampai.

Terdahulu, Kamala Shirin Lakhdhir dalam ucapannya berkata, pihak AS akan terus berkongsi kepakaran dan latihan pengendalian bahan kimia penting di dalam negara dan perspektif global.

Duta Negara Amerika Syarikat,, Kamala Shirin Lakhdir pada Majlis Penutup Bengkel Biological Responce Investigation Training and Evaluation (BRITE III) di Dewan Theatrette 2, Bangunan Akademik,Pulapol, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2018.

“Keganasan bio antara jenayah baharu yang sedang dihadapi global.Kita tidak faham bagaimana penyakit merebak dan membunuh orang ramai.

“Ikhlas kata, pengamalan kita menghadapi wabak e-bola sebelum ini antara contoh terbaik bagaimana umat manusia seluruh dunia takut dengan penyakit itu dan ia memberi pengajaran untuk kita mengukuhkan kerjasama dan berkongsi kepakaran untuk memerangi secara bersama.

“Bengkel ini yang disertai anggota Malaysia dan pakar AS, memberi pendedahan yang mana mempersiapkan Malaysia dan tanggungjawabnya menambahbaik tahap keselamatan menghadapi bio keselamatan di rantau ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette