Home Ekonomi PNB bayar bonus khas hari ini

PNB bayar bonus khas hari ini

PNB
Permodalan Nasional Bhd.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengkreditkan bonus khas sebanyak 1.00 sen seunit bagi 10,000 unit pertama kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) hari ini.

 

Bonus khas itu sempena ulang tahun ke-40 PNB pada 17 Mac ini yang diumumkan pada pada Disember lalu.

 

Sebelum ini, pengagihan pendapatan 7.00 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit untuk ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 telah dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari lalu.

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Bonus Khas Ulang Tahun itu merupakan penghargaan PNB kepada pemegang unit yang sentiasa setia menyokong kami selama ini.

 

“Hari ini, syarikat pengurusan unit amanah PNB iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah syarikat unit amanah terbesar di Malaysia dengan 228 bilion unit dalam edaran yang mana 67.3 peratus adalah unit-unit ASB.

 

“Kami amat menghargai sokongan pemegang unit dan gembira untuk menghadiahi Bonus Khas Ulang Tahun yang dibayar dari dana proprietari PNB sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Abdul Wahid memberitahu, bonus berkenaan berjumlah RM255.12 juta beserta pengagihan pendapatan dan bonus yang telah diagihkan sebelum ini sebanyak RM10.48 bilion akan memberi manfaat kepada 9.1 juta pemegang unit yang melanggan lebih 145 bilion unit ASB.

 

Jelas beliau, lebih 7.5 juta pemegang unit dengan pegangan sehingga 10,000 unit akan menerima pulangan efektif sebanyak 8.25 sen seunit manakala tambahan 1.7 juta pemegang unit akan menerima sekurang-kurangnya 7.25 sen per unit.

 

“Pengiraan pengagihan bonus khas adalah tertakluk kepada purata baki bulanan minimum selama 12 bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 bagi 10,000 unit pertama sahaja,” jelas beliau.

 

Sementara itu, pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun masing-masing melalui portal baharu ASNB myasnb.com.my atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara mulai hari ini. – MalaysiaGazette