KUALA LUMPUR – “(MORTEN) Frost tidak ada hak menentukan karier saya,” tegas pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei.
Tercabar dengan tindakan Frost yang seakan tidak sabar mahu dia bersara, Chong Wei menegaskan keputusan itu hanya datang daripada dirinya sendiri, bukan atas ‘arahan’ Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.
Kemarahan Chong Wei meledak apabila beliau mendapat tahu Frost memberitahu kepada individu yang dekat dengannya bahawa kecederaan terbaru yang dialaminya itu adalah pengakhiran kariernya sebagai pemain.
Ini berikutan kecederaan MCL (Medical Collateral Ligament) yang dialami Chong Wei ketika latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Sabtu lepas.
Menurutnya, ia bukan kali pertama Frost berbuat demikian kerana turut mengemukakan pertanyaan sama selepas berakhirnya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun lepas.
Apa yang lebih menyakitkan hati Chong Wei adalah kecederaan terbarunya boleh dielak jika Frost dan Pengurus Besar BAM, Lawrence Chew memenuhi permintaannya menukar getah permukaan gelanggang di ABM.
“Saya berulang kali meminta mereka menukarkannya… saya bukan minta yang baru tapi hanya pindahkan permukaan lama dari Stadium Juara, tapi ia tetap tidak dihiraukan.
“Namun selepas saya cedera, barulah ia ditukar. Kenapa hanya selepas berlaku pada saya baru nak buat, sedangkan sebelum ini beberapa pemain lain juga terjatuh kerana permukaan yang licin,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Chong Wei menjelaskan beliau lebih terkilan apabila mendapat tahu reaksi Frost yang menyatakan ‘this is end of his career’ (berakhirnya kariernya).
“Memang saya marah, mahu bersara atau tidak adalah keputusan saya bukan dia. Sebelum ini saya hanya diam sahaja tetapi kali ini saya tidak boleh tahan lagi, saya sedia bertanggungjawab.
“Jika saya cedera ketika kejohanan, saya boleh terima. Tetapi saya cedera ketika latihan,” katanya yang kini perlu menunggu tiga hingga enam minggu untuk memulihkan kecederaannya.
Chong Wei berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak kerana fokusnya adalah bermain untuk negara dan sentiasa terbuka dengan keputusan BAM mengenai kariernya.
Jelasnya, beliau masih tetap mewakili negara bukan kerana wang ringgit dan pangkat tetapi minat yang mendalam dalam badminton itu.
“Saya masih beraksi lagi sehingga hari ini bukan kerana duit ataupun pangkat, saya pernah berada di atas dan merasai kejatuhan sepanjang karier saya, tetapi saya mahu tetap beraksi kerana minat, saya sayangkan sukan ini.
“YB Khairy (Jamaluddin- Menteri Belia dan Sukan) sendiri tidak pernah suruh saya bersara, kenapa dia? Khairy ada menanyakan tentang keadaan saya selepas kecederaan ini, saya jawab waktu ini memang kondisi saya tidak baik,” katanya.
Sementara itu, Frost ketika dihubungi Bernama enggan mengulas perkembangan terbaru tersebut.
“Saya masih tiada komen,” jawabnya menerusi aplikasi Whatsapp. – BERNAMA