Home Politik Husam cabar Nik Abduh nafi rakaman suara

Husam cabar Nik Abduh nafi rakaman suara

Husam Musa

KUALA LUMPUR – Husam Musa mengakui rakaman audio yang tular di media sosial mendakwa Ahli Parlimen Pas, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz menerima sejumlah wang dari UMNO adalah berpunca darinya.

Memetik laporan sebuah laman portal, Pengerusi Pakatan Harapan itu mencabar Nik Mohamed Abduh menafikan suara dalam rakaman audio tersebut adalah miliknya.

Bekas naib presiden Pas itu juga bersedia disaman oleh wakil rakyat Pasir Mas itu sekiranya dakwaannya salah.

“Saya mengesahkan rakaman yang diposting itu rakaman serupa saya. Sepatutnya dia samanlah. Tak boleh ugut saja.

“Saya tak nak bercakap sahaja, kerana sebelum ini dah berpuluh kerajaan Pas nak saman saya, (tetapi) sampai ke hari ini, saman tak ada,” katanya seperti dilaporkan.

Husam berkata demikian sebagai mengulas mengenai dua rakaman audio yang tersebar di media sosial yang mendakwa ia suara Nik Mohamed Abduh.

Rakaman tersebut berkisar soal perbincangan bersama seorang lagi individu mengenai dakwaan menerima wang dari UMNO serta mengenai kerjasama dengan UMNO pada pilihan raya di Sarawak.

Bagaimanapun, Nik Mohamed Abduh menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut menerusi akaun Facebook miliknya sambil menyifatkan ia satu fitnah terhadapnya.

Pendedahan terbaru Husam itu bertujuan meminta supaya pimpinan Pas menyiasat kesahihan rakaman tersebut sama ada ia benar atau sebaliknya.

Husam menjelaskan beliau masih mempunyai baki rakaman audio berkenaan yang akan didedahkan satu masa nanti. – MalaysiaGazette

Nik Abduh nafi ambil duit UMNO