Home Nasional RM3j diserah kepada Pusat Pembedahan Katarak esok

RM3j diserah kepada Pusat Pembedahan Katarak esok

Najib Tun Razak melihat cara rawatan yang digunakan untuk merawat pesakit mata semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan).?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyerahkan peruntukan tambahan RM3 juta kepada Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang esok.

Ketua Pengawai Eksekutif MAIWP Datuk Pamuzi Yahya berkata, langkah itu diambil sebagai melaksanakan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru-baru ini mengadakan lawatan ke pusat tersebut.

“Kita telah bincang dengan pusat katarak untuk tahu apakah keperluan bagi tambahan RM3 juta itu dan Alhamdulillah, kita sudah dapat maklumat.

“Esok kita akan bermesyuarat untuk meluluskan peruntukan tambahan itu dan kita akan salurkan kepada pusat katarak. Kita akan salurkan terus selepas mesyuarat selesai,” katanya selepas hadir majlis pelepasan Kembara Zakat Wilayah Persekutuan 2018 di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib supaya peruntukan tambahan diberikan bagi membolehkan pusat itu membeli peralatan canggih untuk meningkatkan lagi perkhidmatannya kepada masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan.

Menerusi program kembara itu, Paimuzi berkata, MAIWP turut menyampaikan replika cek peruntukan bagi 2018 sebanyak RM197.64 juta melalui beberapa bantuan zakat Baitulmal MAIWP.

Katanya, ia terdiri daripada Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM86.86 juta, Bantuan Perubatan RM23.84 juta dan RM86.94 juta pula adalah bagi Bantuan Pendidikan.

Beliau berkata, program julung kali itu diadakan bagi memperhebatkan usaha untuk memaklumkan masyarakat tentang inisiatif yang dilaksanakan MAIWP dalam mengagihkan zakat kepada golongan yang memerlukan.

“Kembara ini adalah antara langkah MAIWP untuk mengubah persepsi masyarakat tentang penyaluran zakat,” katanya.

Konvoi yang disertai kenderaan penerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi dan Kelab MAIWP Bikers itu bergerak ke lima kawasan Parlimen iaitu Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

Katanya lebih 400 penerima di lima kawasan tersebut akan menerima bantuan zakat menerusi kembara itu. – MalaysiaGazette