Home Seni Hidup Yamina sedia bengkung, peralatan ibu bersalin

Yamina sedia bengkung, peralatan ibu bersalin

KUALA LUMPUR – Kesukaran mendapatkan bekalan kelengkapan untuk ibu yang baharu bersalin serta bayi telah mendorong usahawan desa wanita Restuati Bahaman, 42, mengeluarkan produk jenama sendiri.

Bermula dengan perniagaan itu secara kecil-kecilan dengan menjahit barut dan kelengkapan bayi di rumah serta menghantarnya ke kedai bayi berdekatan untuk dijual pada 2013 bersama kakak dan adik perempuannya, beliau kini berjaya menubuhkan Yamina Trading di Kampung Batu Kapor, Mentakab, Pahang.

Syarikat tersebut kini menyediakan khidmat menjahit bengkung ibu dan anak serta barangan keperluan bayi berikutan permintaan tinggi kerana didapati tidak banyak butik ibu dan bayi dalam pasaran menjual kelengkapan bersalin tradisional, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata mereka menawarkan barangan ibu dan bayi yang hampir lengkap termasuk set ibu berpantang serta tungku tuam bayi dan barut.

“Kami mula perniagaan dengan modal permulaan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sahaja, sebab pelanggan akan buat pesanan awal dan mereka akan bayar separuh harga dulu.

“Bila sambutan semakin menggalakkan dan stok barangan pula semakin banyak, akhirnya kami membuat keputusan untuk membuka kilang sendiri pada akhir tahun lepas dan turut menjualnya dalam talian,” katanya.

Yamina Trading kini mempunyai enam pekerja yang menjahit barang keperluan bayi berupa bantal, barut dan tungku bayi selain set bengkung.

Menggunakan wang simpanan dan bantuan kewangan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, syarikat itu kini menghasilkan lebih 100 helai bengkung zip dan tanpa zip, selain 300 barut bayi sehari.

Restuati Bahaman

Ibu kepada lima anak itu berkata set bengkung berzip didatangkan bersama tungku tuam herba, bantal karipap dan empat helai barut tali cotton Inggeris dijual antara RM80 hingga RM100 setiap set.

Bagi memenuhi permintaan pelbagai saiz, bengkung tanpa zip yang dikeluarkan diperbuat daripada kain belacu berkualiti, didatangkan dengan saiz M, L dan XL.

“Kami menambah baik bengkung tanpa mengubah ciri-ciri tradisionalnya bagi mudah dan selesa dipakai serta tidak panas walaupun berpantang sendirian,” katanya dan menambah bengkung yang dijual bukan hanya untuk ibu bersalin sahaja, tetapi untuk mereka yang ingin kekal langsing,

Sementara itu, kakaknya Emi, 44, yang mengendalikan pemasaran syarikat mereka berkata perniagaan dalam talian yang bermula sejak dua tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau berkata pada masa ini produk Yamina dipasarkan di kedai-kedai bayi dan pasar raya berdekatan Raub dan Mentakab.

Beliau berkata tahun depan mereka bercadang untuk melebarkan pasaran ke Sabah dan Sarawak, selain membuka cawangan baharu di Pahang dan di sekitar Pantai Timur.- BERNAMA