PETALING JAYA – Kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad serta kepemimpinan tertinggi parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedikit pun tidak menggugat Barisan Nasional (BN) di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, siri jelajah parti PPBM itu yang berlangsung di Kamunting semalam tidak memberi kesan kepada BN.
Beliau percaya rakyat Perak lebih bijak menilai parti mana yang sentiasa bekerja untuk rakyat dengan parti yang hanya ‘turun’ bagi memburuk-burukkan kerajaan.
“Saya difahamkan, mereka (PPBM) melancarkan secara besar-besaran dengan seluruh kepimpinan mereka ke Kamunting, Taiping dengan mesej utama untuk menyampaikan kepada rakyat Perak bahawa bakal perdana menteri mereka adalah Mahathir.
“Pendekatan kami di Perak kami tidak turun waktu nak pilihan raya baru istyihar itu dan ini.
“Mereka (rakyat) tahu bagaimana kami bekerja. Kami tidak menanti pada peringkat akhir, kami berada di pentas-pentas dengan tidak memaki hamun. Kami berada bersama rakyat,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Bersama Menteri Besar di sini hari ini.
Zambry berkata, BN mengamalkan politik matang dan ia tidak tidak timbul istilah tergugat untuk parti itu di Perak.
Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis tersebut, beliau menyelar tindakan seorang menteri besar di negeri yang dikuasai pembangkang apabila cuba memburuk-burukkan negeri yang dipimpinnya sebelum ini.
Katanya, langkah seperti itu tidak menunjukkan kematangan terhadap diri seorang pemimpin dan ia hanya akan memberi kesan negatif pada pandangan masyarakat.
“Sepatutnya kita bila jadi menteri besar kena ada adab dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Walaupun kita berbeza parti dan sebagainya tapi saya tidak pernah kata, ‘Perak ada ini, Selangor ada apa?” ujarnya.
Dalam konteks di Perak, beliau hanya akan menceritakan apa yang berlaku di negerinya tanpa membuat perbandingan dengan negeri-negeri lain terutamanya yang diperintah pembangkang. – MalaysiaGazette