PETALING JAYA – Para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan tidak mungkin memilih lagi calon pembangkang pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) akan datang.
Sebaliknya, mereka akan memilih wakil rakyat daripada parti yang kuat dan mampu membela nasib terutama sekiranya mereka ditimpa kesusahan, kata Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.
Penduduk di Taman Medan, katanya, sudah ‘muak’ dengan cakap-cakap kosong wakil rakyat sekarang yang sebenarnya tidak membantu mereka.
“Apabila ada aduan diterima daripada individu di kawasan itu yang memohon bantuan saya tanya dia, kenapa awak tidak pergi jumpa dengan YB (Haniza Talhah)?
“Dia kata dia (Haniza – wakil rakyat PKR) tidak mahu jumpa sebab saya ini orang luar. Ini bukan soal orang dalam atau orang luar, tapi ini pasal kebajikan,” kata Abdul Mutalif ketika ditemui MalaysiaGazette pada Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar Perak di sini hari ini.
Mutalif berkata, tidak wajar berlaku pilih kasih dalam kalangan wakil rakyat di mana-mana kawasan kerana mereka seharusnya berkhidmat kepada sesiapa tanpa mengira fahaman politik.
Katanya, masalah yang berlaku di Taman Medan ketika ini ialah pemimpin kerajaan Selangor sering lepas tangan dalam sebarang urusan terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette