Home Nasional Baik pulih LRT Kelana Jaya selesai 2 minggu lagi

Baik pulih LRT Kelana Jaya selesai 2 minggu lagi

KELANA JAYA – Stesen LRT Kelana Jaya yang ditutup sementara pada Sabtu yang lalu kembali beroperasi pada pukul 9.50 malam tadi, lebih awal daripada yang dijangkakan.

Ketua Operasi Laluan Rel Kelana Jaya, Muhammad Syafiq Abdullah berkata, kerja-kerja membaiki bumbung di platform buat sementara waktu siap 9.30 malam.

Tambah beliau kerja membaiki bumbung secara sepenuhnya dijangka siap dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

“Selepas kita pastikan rel selamat untuk digunakan, kita buat keputusan buka kembali semalam.

“Setakat ini kerja-kerja membaik pulih sementara dibuat supaya kita boleh buka stesen dan kerja-kerja seterusnya akan dilakukan di antara seminggu ke dua minggu lagi.

“Kita nak tunggu barang-barang sampai, jadi ambil masa sikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di stesen itu sebentar tadi.

Menurut beliau, cabaran untuk Prasarana melakukan kerja membaik pulih adalah terhad iaitu maksimum hanya lima jam sahaja di luar waktu operasi stesen.

“Semasa pembaikan nanti tidak akan ada penutupan stesen sebab ia dilakukan selepas waktu operasi. Kalau kita gunakan waktu biasa dikhuatiri menjejaskan kelancaran tren.

“Kerja membaiki hanya diperuntukan empat hingga lima jam sahaja dan pembaikan atas landasan dibuat pada waktu malam semasa tidak lagi operasi,” ujar beliau.

Oleh kerana kerja membaiki secara sepenuhnya belum selesai, beliau masih tidak boleh mengumumkan anggaran kos yang ditanggung oleh Prasarana.

Mewakili Prasarana Muhammad Syariq mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang memberi kerjasama yang baik.

“Respons pengguna pun bagus sejak semalam selepas kami muat naik status di laman sosial memaklumkan LRT sudah beroperasi.  Ramai yang lega sebab ramai bergantung dengan LRT. Terima kasih atas kesabaran menunggu,” tambah beliau.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, hujan lebat serta angin kencang telah menerbangkan sebahagian bumbung stesen berkenaan. -MalaysiaGazette