BEIJING – China mengunjurkan ekonominya berkembang sekitar 6.5 peratus tahun ini, sama seperti tahun lalu, kata Perdana Menteri China, Li Keqiang dalam ucapan yang disediakan bagi pembukaan mesyuarat tahunan Parlimen.
Unjuran itu tidak berubah meskipun pertumbuhan ekonomi negara tersebut merekodkan 6.9 peratus pada tahun lalu, melepasi sasaran awal kerajaan.
Katanya, Beijing akan terus memberi fokus mengurangkan risiko kepada sistem kewangan berbanding meningkatkan hutang.
Li berkata, China menentang perlindungan dan menyokong penyelesaian pertikaian perdagangan melalui rundingan, tetapi akan melindungi hak dan kepentingannya yang sah.
Tambahnya, negara itu akan meningkatkan pengawasan terhadap perbankan bayangan, kewangan Internet dan syarikat pegangan kewangan dan meningkatkan kawalan risiko di institusi kewangan.
Dalam mengekalkan dasar fiskal proaktif, Li berkata, China mengurangkan sasaran defisit bajet kepada 2.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 3 peratus pada tahun 2017.
Sasaran pengurangan defisit belanjawan adalah yang pertama sejak bertahun, menunjukkan Beijing akan lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan fiskal dalam menangani risiko-risiko kewangan. – MalaysiaGazette