KUALA LUMPUR – TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF), anak syarikat Tenaga Nasional Berhad muncul organisasi pertama di Malaysia menerima Sijil CIPS Standard Corporate daripada Chartered Institute of Procurement & Supply (CIPS), yang berpangkalan di United Kingdom.
Pensijilan CIPS Standard Corporate menilai lima dimensi – kepimpinan dan organisasi; strategi dan polisi; warga kerja; sistem dan proses; dan prestasi pengurusan.
Akreditasi badan profesional itu membuktikan bahawa TNBF mengamalkan perolehan standard yang baik dan bertaraf dunia, selain diperakui menyediakan platform yang progresif serta berstruktur untuk mencapai kecemerlangan dalam operasi perolehan dan pembekalan.
Pengiktirafan tersebut menjadikan TNBF sebagai antara organisasi perolehan terbaik dalam industri pembekalan komoditi, sekali gus mendorong usaha menjana pendapatan daripada bisnes TNB yang tidak dikawal selia.
Pensijilan itu disampaikan Ketua Pemasaran CIPS, Jon Soon, kepada Pengarah Urusan TNBF, Zainal Abidin Shah Mahamood sambil disaksikan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd di sini, baru-baru ini.
CIPS, ditubuhkan hampir 20 tahun lalu, adalah badan profesional yang mendorong syarikat-syarikat perolehan untuk mempraktikkan amalan perolehan terbaik.
Kegiatan utama TNBF adalah membekalkan bahan api, termasuk arang batu untuk penjanaan tenaga elektrik. – MalaysiaGazette