KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal kukuh antara lima hingga 5.5 peratus pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sektor swasta akan kekal sebagai pemacu utama ekonomi, disokong oleh sektor awam.
Malah menurutnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 5.9 peratus pada tahun lalu berbanding 4.2 peratus pada 2016.
Najib berkata, perkembangan itu didorong oleh permintaan domestik terutamanya perbelanjaan swasta berikutan kestabilan pasaran buruh, pendapatan eksport lebih tinggi dan inflasi terkawal dalam persekitaran kadar faedah rendah.
“Pelaburan swasta yang kukuh terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara,” kata yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan lisan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan lisan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latif Ahmad meminta Menteri Kewangan menyatakan kadar pertuumbuhan ekonomi negara pada 2017 dan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara dan global pada tahun ini.
Tambah beliau, daripada sudut penawaran, kesemua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. – MalaysiaGazette