Home Seni Hidup Suami Ziana Zain didakwa cederakan anak

Suami Ziana Zain didakwa cederakan anak

SHAH ALAM – Suami kepada penyanyi dan pelakon terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri hari ini didakwa mencederakan anak lelakinya menggunakan sebatang rotan, bulan lepas.

Tertuduh yang berusia 53 tahun dan memakai kemeja-T kelabu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Armin Zaharin didakwa sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas anak lelakinya itu menggunakan rotan di rumah mereka di Denai Alam di sini pada kira-kira 4 pagi, 25 Feb lepas.

Bekas pramugara sebuah syarikat penerbangan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Armin Zaharin ditahan pada 2 Mac selepas Ziana, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Feb lalu.- BERNAMA

+ posts