Home Dunia Sanggup curi trofi Oscar kerana taksub

Sanggup curi trofi Oscar kerana taksub

LOS ANGELES – Seorang lelaki yang taksub dengan trofi ‘Oscar’  sehingga sanggup mencuri trofi terbabit, kini berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun dan denda AS$950 (RM3,700).

Suspek, Terry Byrant, 47, dituduh melarikan trofi pemenang pelakon wanita terbaik, Frances McDormand kelmarin ketika pemenang sedang menanti namanya di ukir pengukir.

Terry Bryant memuat naik video dengan dirinya berpakaian tuxedo, sedang memegang piala tersebut di acara pesta meraikan malam anugerah itu.

Dalam video berkenaan, dia mengaku sudah memenangi anugerah tersebut dan dengan nada bangga menunjukkan trofi tersebut sebelum bertindak melarikan diri dari majlis tersebut.

Siasatan sedang dijalankan bagaimana Bryant boleh menghadiri majlis tersebut.

Frances McDormand yang memenangi anugerah pelakon terbaik melaporkan kehilangan pialanya semasa majlis pesta.

Polis Los Angeles berkata, Bryant menyerahkan kembali Oscar itu tanpa masalah berhampiran pintu keluar bangunan selepas seorang jurugambar melihat gelagatnya yang mencurigakan.

Televisyen Reuters sempat merakam gelagat Bryant ketika meninggalkan majlis itu sambil memegang patung Oscar dan berkata, “Kita sudah mendapatkannya. Kita berjaya. Kita berjaya. Saya minta diri dulu.”

McDormand memenangi Oscar untuk peranannya sebagai ibu yang kecewa dan berduka dalam filem ‘Three Billboards Outside Ebbing, Missouri.’

Pihak berkuasa juga masih lagi menyiasat identiti Bryant. – MalaysiaGazette