HULU SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai lima kelemahan besar yang boleh ditangani oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya berjaya merampasnya selepas PRU-14.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, rakyat Selangor kini semakin tersepit ekoran pengurusan air yang tidak betul oleh gabungan Pakatan Harapan (PH).
“Pertama, rakyat Selangor hadapi masalah air, Jumaat lalu rakyat mengeluh sebab kurang air, semua susah hati. Ini kerana masalah ini gagal diuruskan oleh kerajaan negeri dan tengok sahaja.
“(Negeri-negeri) kita tidak ada masalah air. Pembangkang boleh uruskan air, bukan hak rakyat, dia tidak ambil kira,” katanya di hadapan lebih 10,000 rakyat Hulu Yam hari ini.
Najib berkata demikian dalam ucapan perasmian jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor di Kampung Sungai Chik, Ulu Yam, Selangor.
Antara lain, Najib turut menegaskan, faktor harga rumah yang melambung tinggi juga menyebabkan rakyat Selangor semakin runsing.
Pelaksanaan cukai pintu baharuĀ juga membebankan rakyat, kata Najib.
“Sampah juga semakin bertambah di Selangor dan sistem pelupusan yang tidak mencukupi, malah sungai yang kotor, (jalan raya) sesak sana sini dan penyakit berjangkit, denggi ‘jaguh’ Selangor,” katanya lagi.
Justeru itu, BN katanya sedia untuk menyelesaikan semua masalah itu dan justeru rakyat Selangor digesa agar memilih BN kali ini.
Untuk rekod, sudah dua penggal BN tewas di negeri termaju di Malaysia iaitu sejak tahun 2008. -MalaysiaGazette.