Home Nasional PDRM sahkan Jho Low tidak bekerja di 1MDB

PDRM sahkan Jho Low tidak bekerja di 1MDB

Fuzi
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR –  Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, tidak pernah bekerja dengan 1MDB dan semua keputusan serta urusniaga syarikat pelaburan itu dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarahnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan polis ke atas kes 1MDB masih dijalankan dan sehingga kini tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan Jho Low dengan keputusan dan urus niaga yang dibuat 1MDB.

“PDRM telah menjalankan siasatan terhadap syarikat 1MDB berdasarkan kedapatan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen pada 7 April 2016.

“Sekiranya pihak polis memperolehi sebarang keterangan baharu (bukti) terhadap Low Taek Jho, tindakan sewajarnya menurut undang-undang akan diambil oleh pihak polis ke atas Low Taek Jho,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, tindakan pihak berkuasa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) merampas Kapal Equinimity di Indonesia yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho adalah suatu tindakan perlucuthakan sivil di Mahkamah di Amerika Syarikat terhadap Low Taek Jho dan bukan terhadap syarikat 1MDB.

“PDRM juga tidak ada menerima sebarang makluman daripada pihak berkuasa Indonesia atau Badan Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung rampasan kapal layar Equinimity di perairan Indonesia pada 28 Februari 2018.

“PDRM juga tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi membantu dalam siasatan berkaitan kapal layar berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette.