CHERAS – Penduduk di rumah pangsa Taman Segar di sini teruja dan gembira dapat berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan walkabout singkat untuk meninjau kawasan perumahan tersebut.
Buat kali pertama penduduk rumah pangsa tersebut menerima kunjungan tetamu kehormat dan rata-rata penduduk melahirkan rasa berterima kasih kepada Najib kerana kesudian turun padang untuk bertemu mereka.
Sebaik tiba, Najib memulakan walkabout dengan melawat dua keluarga berbangsa Cina dan India yang mendiami rumah pangsa tersebut.
Najib meluangkan masa selama hampir 10 minit menemui seorang wanita warga emas Tan Su Kat, 84 yang tinggal bersama anak lelakinya Ong Chuan Hong, 43.
Hong terpaksa berhenti kerja kerana mahu menjaga ibunya yang tidak sihat dan perbelanjaan kehidupan ditanggung oleh adik beradik beliau yang lain.
“Saya rasa gembira dan terharu apabila Perdana Menteri sudi untuk melawat saya dan ibu, tidak pernah ada orang yang sebegini istimewa datang melawat kami,” kata Hong yang ditemui selepas Najib menziarah rumah beliau.
Najib kemudiaan menyambung kunjungannya dengan melawat rumah yang didiami keluarga India yang tinggal di tingkat bawah rumah pangsa.
Najib meluangkan masa hampir 10 minit melihat keadaan seorang orang kurang upaya, Rajendra Serekas, 49, yang sejak kecil menjalani kehidupan tidak sama dengan rakan-rakan sebaya lain.
Tersentuh melihat keadaan keluarga tersebut, Najib terus meminta resume salah seorang anak saudara OKU tersebut, Vasugi Ramalingam, 28 dan mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz untuk memberikan kerja kosong kepadanya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan beliau baharu sahaja kehilangan pekerjaan sejak enam bulan lalu.
“Saya terkejut apabila Perdana Menteri tiba-tiba meminta resume saya dan meminta Datuk Bandar memberikan kerja kosong kepada saya,” ujar beliau semasa ditemui yang melahirkan rasa bersyukur dengan perhatian diberikan Najib.
Selepas kehilangan pekerjaan, Vasugi dan sekeluarga bergantung harap kepada adiknya, Siritharan Ramalingam, 24, yang bekerja kilang di Taman Shemelin.
Selepas melawat kedua-dua rumah tersebut, Najib menyambung lawatan dengan bertemu penduduk yang sudah menunggu beliau sejak jam 11 pagi di taman rekreasi terletak bersebelahan rumah pangsa tersebut.
Najib meninjau replika pembangunan semula rumah pangsa disitu yang akan dikenali sebagai Segar Residensi dimana melibatkan 300 unit rumah pangsa dan juga seramai 1,200 penduduk. – MalaysiaGazette