Home Nasional Perwatakan Sidek kuat mendorong semangatnya sehingga menjadi KSN – PM

Perwatakan Sidek kuat mendorong semangatnya sehingga menjadi KSN – PM

KUALA LUMPUR – Ketabahan, keazaman, ketahanan dan integriti.

Itu lah empat perkataan yang digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghuraikan perwatakan Tan Sri Sidek Hassan yang telah mendorong bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu mencapai kejayaan dalam hidup sehingga menjadi penjawat awam tertinggi dalam negara.

Najib berkata Sidek, yang dibesarkan di Kampung Cheroh Paloh, Pahang tidak menjadikan kemiskinan hidup penghalang untuk berjaya.

“Secara peribadi saya amat menghormati dan menyanjung tinggi Tan Sri Sidek sebagai KSN dan sebagai seorang individu,” katanya semasa melancarkan buku biografi Sidek yang bertajuk “No Wrong Door: The Story of Sidek Hassan”, di Dewan Filharmonik Petronas di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata Sidek juga merupakan orang penting dalam melaksanakan beberapa program utama transformasi negara, termasuk Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) semasa menjadi KSN.

“Perubahan Malaysia turut diiktiraf Bank Dunia apabila ia memberikan rating kemudahan menjalankan perniagaan sepanjang 2007 hingga 2013, capai lonjakan paling tinggi,” katanya.

Najib berkata, apabila membaca biografi mengenai seseorang tokoh, beliau akan mencari titik perubahan dalam hidup orang berkenaan yang akan mencorak perjalanan hidupnya selepas itu.

“Persimpangan dalam kehidupannya, ialah apabila bonda dan pak cik beliau memutuskan untuk tidak menghantar beliau ke sekolah agama, dan sebaliknya menghantar beliau ke sekolah kerajaan di Pekan,” katanya.

Katanya, keputusan itu telah membawa kepada Sidek akhirnya menjadi KSN dan bukannya Mufti Besar Pahang.

“Ini menunjukkan bahawa sama ada kamu seorang KSN atau orang kaya, sedikit sebanyak kerajaan telah membantu anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kesungguhan Sidek dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam turut disegani penulis dan pencipta Strategi Lautan Biru, Prof Chan Kim.

Buku “No Wrong Door: The Story of Sidek Hassan”, merupakan tulisan bekas profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr Rokiah Talib. Buku kulit tebal dijual pada harga RM100 senaskhah.

Ia mengisahkan kehidupan Sidek yang membesar di Kampung Cherok Paloh, Pahang dan perjalanannya dalam perkhidmatan awam serta usaha beliau mentransformasikan sektor tersebut.

Sementara itu, Sidek dalam ucapannya berkata, semasa menjadi KSN, beliau sentiasa mencari langkah untuk mentranformasikan perkhidmatan awam supaya sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di samping memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan tanpa bertolak ansur berhubung integriti.

Katanya peranan penjawat awam adalah sebagai pemudahcara dan bukan sebaliknya.

“Saya benar-benar percaya kerja itu adalah mudah. Kita yang menyusahkan (kerja). Semuanya berhubung corak pemikiran.

Sidek, 67, memasuki perkhidmatan awal pada tahun 1974 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau dilantik menjadi KSN daripada September 2006 hingga Jun 2012.- BERNAMA