Home Politik PH kemuka 10 janji populis tarik pengundi

PH kemuka 10 janji populis tarik pengundi

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2018

SHAH ALAM – Selepas melancarkan manifesto di peringkat nasional, Pakatan Harapan (PH) mengemukakan 10 janji lagi dalam misi menarik pengundi pada PRU-14.

Antara yang menjadi tumpuan, langkah untuk mengurangkan kos sara hidup dalam 100 hari selepas memenangi Putrajaya dengan melakukan pelbagai insiatif peduli rakyat.

“Kalau kita kalah, janji-janji ini tidak dapat dilaksanakan. Walaupun kita yakin menang, tapi hari ini kita belum menang dan kita perlu berusaha mencapai kemenangan dan ketepikan perkara lain, ketepikan kepentingan peribadi, kita akan menang,” kata Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian manifesto PH malam tadi.

Turut dijanjikan melaksanakan subsidi petrol bersasar dan menstabilkan harga minyak.

Malah PH juga, katanya, turut akan memperkenalkan semua subsidi petrol secara sasar, menghapuskan hutang peneroka Felda, menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa keatas peneroka.

Dalam pada itu, PH turut akan memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan memulakan proses meningkatkan gaji minimum, kata Mahathir.

Paling ketara adalah langkah menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam keatas peminjam.

Pada PRU-13 lalu, Pakatan Rakyat (PR) mendakwa akan memansuhkan pinjaman pelajar itu sekiranya berkuasa di Putrajaya.

Selain itu, PH akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji selain merombak semula struktur kepimpinannya.

Malah, turut akan menubuhkan jawatankuasa khas kabinet untuk segera melaksanakan perjanjian Malaysia 1963.

Menerusi manifesto tersebut, PH turut mengariskan lima teras utama, 60 janji dalam tempoh lima tahun dan lima iltizam khusus menerusi buku Harapan bertajuk Membina Negara Memenuhi Harapan setebal 201 muka surat. -MalaysiaGazette.