Home Dunia Trump, Jung-un setuju bertemu Mei ini

Trump, Jung-un setuju bertemu Mei ini

Chung Eui-yong (kanan) bersalaman dengan Kim Jong-un ketika mengadakan pertemuan baru-baru ini.

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bersetuju untuk bertemu pada Mei ini, kata envoi Korea Selatan.

Penasihat Keselamatan Nasional Korea Selatan, Chung Eui-yong memberitahu wartawan di White House bahawa Trump menyatakan kepada beliau bahawa dia mungkin menerima pelawaan Jong-un untuk bertemu dengannya secepat mungkin, lapor Yonhap.

Pengumuman tersebut dilakukan selepas setahun ketegangan tercetus daripada program nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara.

Jung-un berkta, beliau ‘komited untuk melucutkan nuklear’ dan akan ‘menahan diri daripada sebarang ujian nuklear dan peluru berpandu pada masa depan” kata Eui-yong yang mengetuai delegasi presiden seramai lima orang bermesyuarat dengan pemimpin Korea Utara itu di Pyongyang pada Isnin lalu.

Ia merupakan mesyuarat pertama untuk kedua-dua negara Korea itu sejak Jung-un mentadbir negaranya pada akhir 2011. Kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak pertama lebih sedekad lalu pada April ini.

Eui-yong berkata, beliau menyampaikan ‘penghargaan peribadi’ Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in kepada Trump kerana kepimpinannya terhadap isu Korea Utara.

“Kepimpinan beliau dan polisi tekanan maksimum beliau disertai solidari antarabangsa menyebabkan kita sampai di peringkat ini,” kata Eui-yong. – Agensi