Home Nasional Manifesto Pakatan bakal ancam 200,000 pesawah padi – Shabery

Manifesto Pakatan bakal ancam 200,000 pesawah padi – Shabery

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Bakar bergambar kenangan dengan penerima-penerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Resort & Spa Cyberview, Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2018.

CYBERJAYA – Cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan dasar pengimport tunggal makanan dilihat hanya akan memberi ancaman kepada pengeluar makanan tempatan khususnya penanam padi berdepan risiko kehilangan sumber pendapatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sekiranya polisi ini dihapuskan, harga beras sukar dikawal, lebih-lebih lagi apabila harga beras dari luar negara lebih murah daripada beras tempatan.

“Sekiranya dibebaskan, siapa saja boleh mengimport beras dalam negara kita, boleh jual ikut harga, dia akan membunuh industri tempatan

“Ia akan menghukum 200,000 penanam padi kita, sekiranya harga beras luar lebih murah, orang tak beli beras tempatan.

“Ia akan memberi ancaman kepada penanam padi kita di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Cyberview Resort & SPA, di sini, hari ini.

Beliau mengulas Manisfesto PH yang dilancarkan semalam antara lain menghapuskan dasar pengimport makanan tunggal dan memberi peluang kepada semua pihak untuk membawa masuk makanan dari luar tanpa mekanisma kawalan harga tertentu.

Ahmad Shabery berkata, lebih membimbangkan apabila harga makanan dunia naik mendadak dan ketika itu tiada pengimport yang sanggup membawa masuk beras, sekali gus boleh menjejaskan keselamatan makanan negara.

“Pernah satu ketika dahulu, harga makanan dunia naik, disebabkan harga minyak dan sebagainya tiada orang nak import beras.

“Bila masuk (beras) ke dalam, kita boleh kawal harganya,” katanya.

Beliau menyifatkan manifesto PH sebagai meniru cara Barisan Nasional dan lebih malang lagi apabila tiada idea baharu dikemukakan yang boleh meyakinkan rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Saya rasa perkara yang ditimbulkan (Manifesto Pakatan) tiada satu perkara yang baharu

“Ada beberapa perkara yang agak bercanggah dalam manifestonya,” katanya. – MalaysiaGazette