Home Utama Farid Kamil mengaku tidak bersalah reka keterangan palsu

Farid Kamil mengaku tidak bersalah reka keterangan palsu

Datuk Farid Kamil
Farid Kamil

PETALING JAYA – Selepas didakwa atas lima pertuduhan antaranya positif dadah dan mendatangkan kecederaan, pelakon terkenal Datuk Farid Kamil sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, kali ini atas pertuduhan mereka keterangan palsu dan tidak benar berhubung dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah ke dalam minumannya.

Farid Kamil Zahari, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Dia didakwa mereka keterangan palsu dalam satu laporan polis dengan memasukkan maklumat tidak benar dan laporan tersebut boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pelakon filem J Revolusi itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Damansara, di sini pada 5.54 petang, 31 Jan lepas mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda mengikut Seksyen 193 Kanun yang sama jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Farid Kamil yang diwakili peguam Faizul Mohd Nasir memohon jaminan rendah atas alasan pelakon itu menanggung isteri, anak-anak serta ibu bapa yang sudah tua serta menghidapi pelbagai penyakit yang memerlukan rawatan.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira faktor tawaran berlakon, mengarah dan lain-lain yang semakin merudum ekoran beberapa pertuduhan yang dihadapinya,”

“Turut terjejas adalah kontrak-kontrak daripada syarikat pengiklanan yang sebelum ini ditawarkan kepada anak guam saya berkemungkinan akan ditamatkan kerana kontroversi ini,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.

Turut hadir bersama Farid Kamil yang tiba di perkarangan mahkamah pada pukul10 pagi adalah adik lelakinya Fadzil Bahari Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Semalam, Bernama melaporkan, polis dalam sidang media berkata Farid Kamil membuat laporan polis menyatakan dirinya telah dianiaya tiga rakan artis yang didakwa mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.

Pada 16 Jan lepas, suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Pada 25 Jan pula, Farid Kamil mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid) ke dalam badannya.

— BERNAMA