Home Utama Jangan beli, makan rock melon Australia – Shabery

Jangan beli, makan rock melon Australia – Shabery

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bercakap kepada media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Resort & Spa Cyberview, Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2018

CYBERJAYA – Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak membeli atau memakan buah rock melon dari Australia bagi mengelakkan penyebaran wabak Listeria yang boleh meragut nyawa di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sebagai langkah berjaga-jaga kerajaan telah menyekat serta-merta pengimportan produk dari Australia itu sehingga keadaan kembali selamat.

“Pihak Australia sendiri sudah menghentikan eksportnya dan kita menasihatkan rakyat kita tidak mengambil ataupun membeli rock melon dari Australia kerana kita bimbang berlakunya kontiminasi yang berasal dari negara mereka.

“Kita akan menyekat (import rock melon) sehingga keadaannya jadi lebih baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Cyberview Resort & SPA, di sini, hari ini.

Beliau mengulas penularan wabak Listeria menerusi tanaman rock melon yang tercemar dan meragut nyawa keempat di Victoria, Sydney, dua minggu lepas.

Punca wabak Listeria tersebut disahkan bermula dari sebuah ladang di New South Wales (NSW).

Setakat ini, 17 orang telah dijangkiti di sekitar Victoria dan NSW.

Malaysia menjadi salah sebuah negara yang dikhuatiri dijangkiti wabak itu susulan buah rock melon itu turut dieksport ke Singapura dan Brunei.

Ahmad Shabery turut menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada produk buah-buahan tempatan yang jauh lebih selamat dan terkawal.

“Rock melon tempatan pun banyak dan saya percaya ianya selamat dan tidak ada isu kalau kita menggunakan produk tempatan,” katanya lagi – MalaysiaGazette