LONDON – Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard berpendapat, penyerang sensasi Mohamed Salah adalah pemain terbaik daripada benua Afrika yang pernah beraksi di kancah saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Salah melalui prestasi yang menakjubkan pada musim pertama bersama Liverpool dan dia telah menjaringkan 32 gol setakat ini dalam semua pertandingan.
Jumlah jaringan tersebut meletakkan Salah hanya empat gol di belakang rekod Robbie Fowler sebagai penjaring terbanyak di dalam tempoh semusim untuk kelab Merseyside itu.
Dengan baki perlawanan yang ada pada musim ini, Salah berada di landasan terbaik untuk memecahkan rekod tersebut.
Lebih daripada itu, jika Liverpool mampu mengekalkan pemain antarabangsa Mesir ini untuk musim-musim akan mendatang, maka kejuaraan dan trofi bukanlah perkara yang mustahil bagi Liverpool.
Namun untuk mengatakan Salah adalah pemain terbaik Afrika yang pernah beraksi di EPL, ia mungkin masih terlalu awal untuk berbuat demikian; mengambil kira deretan nama lain yang pernah hadir sejak saingan ini diperkenalkan pada 1992.
Ketika ditanya sama ada Salah boleh dianggap sebagai pemain terbaik Afrika yang pernah beraksi di EPL, Gerrard menjawab:
“Itu adalah solan yang sukar. Ya. Mungkin,” katanya kepada BT Sport.
“Saya berpendapat anda harus menunggu bagaimana musim ini akan berakhir. Jika Salah terus menjaringkan gol dan mencipta rekod baharu, maka anda harus bersetuju dengan kenyataan tersebut.,”katanya.
Salah berada di landasan tepat untuk berada bersama dengan legenda-legenda Afrika yang pernah mewarnai kancah bola sepak Inggeris.
Jika pemain ini mampu mengekalkan prestasi diri untuk musim-musim seterusnya, maka kita tidak perlu menunggu lama untuk Salah dinobatkan sebagai pemain terbaik Afrika sepanjang zaman yang pernah mewarnai saingan EPL. – MalaysiaGazette