KUALA LUMPUR – Usaha untuk memansuhkan tol dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah usaha lama Pas dalam mendepani Barisan Nasional (BN), demikian menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Zawawi Nik Salleh.
Katanya, manifesto yang dipamerkan Pakatan Harapan (PH) baru-baru untuk memansuhkan tol dan GST adalah langkah ke belakang gabungan pembangkang itu menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak lama lagi.
“Pas sudah lama berjanji nak hapuskan tol, GST. Kita mendahului semua parti (pembangkang) yang lain. Kita akan mansuhkan semua itu. Ia adalah janji lama Pas,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan kali ke-30 Pas Bandar Tun Razak, sebentar tadi.
PH pada Khamis lalu melancarkan manifesto peringkat nasional dengan menyenaraikan pemansuhan tol secara berperingkat dan GST antara 10 janji utamanya.
Ia dirasmikan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ditanya mengenai pelancaran manifesto Pas yang akan dilancarkan esok, Nik Zawawi berkata ia adalah manifesto terbaik yang pernah dilancarkan parti itu sepanjang berlangsungnya PRU.
Jelasnya, ia adalah janji dan jaminan Pas yang akan terus berjuang untuk Islam tanpa mengenepikan hak dan agama kaum-kaum lain di negara ini.
“Manifesto ini akan beri gambaran bahawa sistem Islam kalau dipamerkan betul-betul akan bawa kestabilan dan kekuatan dari segi ekonomi dan pendidikan.
“Ia lengkap dengan janji kita kalau diberikan kuasa pemerintahan dan manifesto ini adalah terbaik buat rakyat, pegawai kerajaan dan untuk semua kaum,” katanya.
Esok Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual melancarkan manifesto peringkat nasional di ibu pejabat parti itu.
Ia bagi mendepani BN dan PH pada PRU-14 setelah tidak menyertai gabungan pembangkang dan bergerak sendiri dengan menubuhkan Gagasan Sejahtera. -MalaysiaGazette.