Home Ekonomi Pelabur asing lupus RM299.1j ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing lupus RM299.1j ekuiti tempatan minggu lalu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sejumlah RM299.1 juta ekuiti tempatan di Bursa Malaysia pada minggu lalu berbanding jumlah belian berjumlah RM160.9 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam nota mingguannya berkata, jumlah pelupusan itu adalah terbesar sejak kejatuhan pasaran global pada awal bulan lalu.

Firma penyelidikan itu berkata, jualan tertinggi direkodkan pada hari Isnin lalu sebanyak RM151.7 juta, di tengah-tengah kebimbangan pelaksanaan cukai import keluli dan aluminium oleh Amerika Syarikat.

Cadangan Amerika Syarikat itu telah menjejaskan pemain tempatan seperti Press Metal Aluminium Holdings Bhd yang menyaksikan penurunan saham sebanyak 9.1 peratus pada hari berkenaan.

Sentimen sama turut dirasai oleh rakan Asia yang lain seperti di Thailand, Indonesia dan Taiwan sepanjang minggu.

MIDF Research berkata, aliran masuk marginal pada hari Selasa merekodkan jumlah RM15.2 juta.

“Pelabur global mula kembali ke bursa selepas itu hingga hari Jumaat tetapi pada nilai belian di bawah RM100 juta.

“Aliran keluar berkurangan dipacu oleh kemungkinan rancangan penyingkiran program nuklear Korea Utara dan rundingan bersama Amerika Syarikat,” katanya.

Berdasar tahun ke tahun, belian asing berjumlah RM1.91 bilion dalam bursa tempatan, lebih tinggi berbanding RM1.69 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

MIDF Research menambah, pelabur asing masih aktif dengan nilai purata dagangan harian (ADTV) melepasi RM1 bilion untuk minggu ke-10 kepada RM1.12 bilion.

Sementara itu, ADTV runcit menyusut sebanyak 4.0 peratus tetapi masih kekal melepasi RM1 bilion pada minggu lalu. – MalaysiaGazette