KUALA LUMPUR – Seiring dengan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang semakin hampir, Pas hari ini akan melancarkan manifesto di peringkat nasional di ibu pejabatnya.
Bagaimanapun, pelancaran manifesto itu ditunda ke jam 1.30 petang atas alasan ia akan dilancarkan selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat di tingkat 5 bangunan Pas di Jalan Raja Laut.
“Makluman. Sidang media akan dianjakkan ke pukul 1.30pm. Mohon maaf banyak, kesulitan amat dikesali.
“Datuk Seri Presiden Pas (Abdul Hadi Awang) akan lead (ketuai) siang media nanti, insyaAllah,” kata pihak pengurusan Pas.
Media yang terdiri daripada arus perdana, dalam talian mula membanjiri ibu pejabat parti itu sejak jam 10 pagi tadi bagi membuat liputan tentang pelancaran parti itu dalam menghadapi PRU14.
Kira-kira 50 pengamal media daripada pelbagai agensi mula berhimpun di perkarangan ibu pejabat Pas.
“Meeting (mesyuarat AJK Pas Pusat) pada asalnya jam 10 pagi…tiba-tiba depa (pimpinan Pas) anjak meeting ke pkl 11.30. Itulah sebabnye. Maaf lagi sekali ya,” katanya.
Manifesto Pas dan Gagasan Sejahtera akan dilancarkan Abdul Hadi di ibu pejabat parti itu.
Ia bagi mendepani BN dan PH pada PRU-14 akan datang setelah tidak menyertai gabungan pembangkang dan bergerak sendiri dengan menubuhkan Gagasan Sejahtera. -MalaysiaGazette