Home Utama SPRM kesan ketirisan dana kementerian setiap hari – Azam Baki

SPRM kesan ketirisan dana kementerian setiap hari – Azam Baki

Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hampir setiap hari pihaknya menemui kes salah laku rasuah menyebabkan kehilangan dana awam akibat ketirisan dalam perolehan di jabatan kerajaan dan kementerian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, walaupun salah satu daripada kes itu menyebabkan kehilangan sebanyak 40 peratus dana awam, namun ia perlu dibendung segera dan dikekang lebih awal.

“Saya boleh kata ia serius di semua jabatan dan kementerian kena mengambil perhatian masalah ini.

“Kes kehilangan dana setiap hari kita ada. Kes ini memang ada yang mana melibatkan perolehan-perolehan dan jabatan yang kebanyakannya berkaitan dengan ketirisan.

“Cuma ada satu kes yang melibatkan sebuah kementerian, kehilangan yang kita dapati sebanyak 40 peratus. bayangkan jika kes ini berlaku di semua kementerian,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Lestari, KKLW, di sini, hari ini.

Terdahulu, Azam dalam ucapannya mendedahkan terdapat sebuah kementerian yang kehilangan dana awam sehingga 40 peratus daripada peruntukan kepada perolehan projek pembangunan.

Jelas beliau, ketirisan itu berlaku susulan pemberian projek disebabkan monopoli syarikat sama, kos tinggi dan kerja tidak sempurna akibat terpaksa menampung membayar rasuah kepada pihak ketiga.

“Kita tak mahu satu kes yang pernah berlaku di sebuah kementerian berulang di mana pihak berkenaan telah mengguna pakai kaedah tender terpilih yang akhirnya menyebabkan pelbagai perkara terjadi.

“Jika semua kementerian masih meneruskan amalan seperti ini, sudah tentu rakyat tidak akan berpuas hati walaupun perkhidmatan terbaik telah diberikan oleh pegawai-pegawai kerajaan,” katanya.

Ditanya pemberita tentang kementerian yang kehilangan dana awam itu, Azam bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kementerian terbabit.

Azam berkata, ketirisan dana awam itu hanya boleh dibendung sekiranya sesuatu projek itu diluluskan secara birokrasi seperti tender terpilih dan terbuka boleh dimohon oleh mana-mana syarikat.

“Ini secara tidak langsung boleh mengelakkan monopoli atau ketirisan serta pembaziran wang dana kerajaan, walaupun ia hanya melibatkan projek-projek peruntukan RM50,000 ke bawah.

“Malah dengan cara ini ia akan dapat mengelakkan amalan beri projek kepada syarikat-syarikat yang sama sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette