Home Politik PPBM perlu masa respon cara tanggung hutang negara

PPBM perlu masa respon cara tanggung hutang negara

Rais Hussin Mohamed Ariff

PETALING JAYA – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat gagal menjelaskan secara terperinci mengenai pesoalan bagaimana parti itu akan menampung kehilangan hasil melalui pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tol dan pengurangan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebaliknya Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff yang mendakwa menjadi sebahagian daripada pasukan penggubal manifesto Pakatan Harapan (PH) meminta masa yang lebih panjang bagi memberi respon terhadap kehilangan pendapatan sebanyak RM416.6 bilion jika ia dilaksanakan.

“Saya dah baca pengumuman Irwan, saya akan cuba teliti adakah angka-angka dia ni betul sebab selalu dia beri angka macam-macam. 1MDB pun ghaib. Jadi saya nak tengok dulu angka-angka nanti saya akan respon,” katanya kepada pemberita pada sidang media parti itu di ibu pejabat PPBM.

Terdahulu Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pemansuhan GST akan menyebabkan hutang negara semakin meningkat apabila kehilangan RM45 bilion kepada RM338 bilion untuk pemansuhan tol dan seterusnya PTPTN RM3.9 bilion dan RM2.4 bilion untuk duti eksais.

Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar, Wan Saiful Wan Jan pula mendakwa Barisan Nasional (BN) sengaja memomokkan rakyat dengan beberapa janji dalam manifesto pembangkang sahaja berbanding lebih 60 janji tawaran yang lain.

Katanya, ini kerana BN tidak berani untuk berdebat mengenai janji yang lain sebagai contoh mereformasikan pentadbiran negara.

“Ia berkisar dengan GST semata-mata, saya rasa ini menunjukkan kelemahan BN kerana janji kita ada 60 ditambah iltizam janji lebih 100 hanya 1 peratus yang dikatakan.

“Bagi saya mereka tidak berani bercakap mengenai janji-janji lain yang kita tawarkan seperti janji mereformasikan institusi pilihan raya negara yang bebas, suruhanjaya pencegahan rasuah, status perjanjian Sabah dan Sarawak,” katanya. -Malaysiagazette