Home Politik Tidak semestinya parti pembangkang tiada akal – Muhyiddin

Tidak semestinya parti pembangkang tiada akal – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2018.

PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan manifesto Pakatan Harapan (PH) apabila berkata ia menerima sambutan baik daripada masyarakat.

Beliau berkata, pandangan daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak penting jika dibandingkan dengan rakyat.

“Hebat juga kalau manifesto PH madu beracun, tetapi tidak kiralah, saya tidak kisah Datuk Seri Najib (Perdana Menteri) ke sesiapa pemimpin BN nak mengata boleh kata, yang penting bukan beliau, yang penting rakyat dan saya kata sejak pelancaran Buku Harapan beberapa malam yang lalu respon masyarakat umum luar biasa.

“Dia boleh komen apa pun, kitar semula, logik, tidak realistik ke. Tidak boleh perlekeh oleh sebab kami pembangkang bahawa kami ini tidak ada cukup akal, bodoh tidak ada pakar untuk soal penting untuk negara.

“Jangan perkecilkan, yang penting adalah rakyat umum meliputi semua peringkat melihat ini sebagai satu tawaran yang sukar untuk ditolak,” katanya pada sidang media parti itu hari ini.

Terdahulu beliau diminta mengulas dakwaan pemimpin BN bahawa manifesto PH seakan madu beracun kerana dilihat tidak munasabah dan hanya lebih bersifat populis dengan matlamat memancing undi pilihan raya.

Tambah Muhyiddin, kritikan daripada BN sememangnya telah dijangka oleh PH.

“Bagi saya yang penting penerimaan rakyat, kalau pemimpin di sebelah sana kita boleh jangka apa, mereka kata mereka akan kata ini tidak elok, tipu kosong, tidak berpijak di bumi yang nyata,” ujarnya.

Beliau sebaliknya mendakwa BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal melaksanakan janji untuk memberikan kehidupan yang sejahtera dan kesenangan kepada rakyat secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette